Home Pertahanan dan Keselamatan Usul lanjutan SOSMA untuk tempoh 5 tahun lagi dibentangkan semula

Usul lanjutan SOSMA untuk tempoh 5 tahun lagi dibentangkan semula

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Jul – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membentangkan semula usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747) bagi terus berkuatkuasa untuk tempoh 5 tahun lagi mulai 31 Julai 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata, subseksyen itu perlu dilanjutkan bagi menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

“Peruntukan subsekyen ini, memberi ruang dan masa yang cukup kepada pihak polis bagi melengkapkan siasatan,

“Hal ini kerana siasatan, kes-kes yang melibatkan kesalahan keselamatan terutamanya jenayah keganasan dan terancang adalah rumit dan kompleks serta memerlukan masa untuk dilengkapkan,

“Terutama bagi mendapat keterangan daripada orang yang ditahan semasa pengumpulan bukti-bukti berkaitan bagi tujuan pendakwaan termasuklah pengesanan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas,” katanya ketika membentang semula usul berkenaan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau berkata, meskipun akta itu memperuntukkan 28 hari untuk melakukan siasatan, namun secara realitinya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari bagi membuat penyiasatan.

“Hal ini berikutan 7 hari sebelum tamat tempoh 28 hari itu, pihak polis perlu menyerahkan kertas siasatan yang lengkap kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut. Sekiranya berdasarkan penilaian Jabatan Peguam Negara terdapat bukti-bukti yang menyokong penglibatan seseorang yang ditangkap, maka tindakan pendakwaan di mahkamah akan dibuat,” katanya.

Menurutnya dalam tempoh siasatan, polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan serta mendapatkan maklumat dari agensi-agensi penguatkuasa lain seperti Bank Negara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Tempoh ini amat kritikal, dimana agensi yang dirujuk tersebut perlu membekalkan maklumat yang diperlukan oleh polis dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum tamatnya 21 hari tersebut,

“Tambahan pula, tangkapan yang melibatkan kesalahan seperti penyeludupan migran dan keganasan memerlukan siasatan yang lebih mendalam serta terperinci, sekaligus menjadikan lebih rumit berikutan golongan ini mempunyai rangkaian luar negara serta ideologi tersendiri,

“Kes merentasi sempadan ini, memerlukan bantuan dari negara luar bagi tujuan pengumpulan maklumat dan permohonan berkenaan memerlukan masa yang lama,” jelasnya.

Hamzah turut menegaskan Akta 747 itu memberikan keadilan buat orang yang ditahan termasuk peluang berjumpa dengan peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan itu juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata, semua pihak tidak perlu membuat perbandingan antara SOSMA dan Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 kerana terdapat banyak perbezaan antara kedua-duanya dengan SOSMA memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

Katanya, kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas polis serta semua agensi keselamatan di negara ini adalah bagi memastikan negara aman dan selamat untuk didiami. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply