Home Pertahanan dan Keselamatan Polis tumpas sindiket, rampas dadah RM1.06 juta

Polis tumpas sindiket, rampas dadah RM1.06 juta

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Jul – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam 3 serbuan berasingan menerusi OP KATIA di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 5 hingga 6 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil serbuan pada jam 6.40 petang hingga 1.10 pagi itu, pihaknya telah merampas pelbagai jenis dadah berbahaya yang bernilai RM1.06 juta.

Menurutnya lagi, polis turut merampas sepucuk pistol jenis revolver bersama 9 butir peluru hidup.

“Serbuan pertama dijalankan di tempat letak kereta di sebuah kondo di Jalan Bukit Segambut, Kuala Lumpur,

“Seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun telah ditahan bersama 3,000 biji pil acstacy bernilai RM3,000 serta wang tunai berjumlah RM500,” katanya dalam sidang media, pada Khamis.

Tambahnya lagi, suspek mempunyai pelbagai rekod lampau dan hasil saringan air kencing didapati positif dadah jenis THC.

Azmi menjelaskan, serbuan kedua dilakukan di kawasan letak kereta kompleks beli belah di Dutamas, sehingga membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun dan rampasan dadah jenis ganja sebanyak 10.14 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM25,350.

“2 lelaki tempatan berumur 29 hingga 31 tahun telah ditahan di sebuah kondo di Ampang dan polis telah merampas sebanyak 142.02 kg dadah jenis ganja, 15.12 kg syabu dan 785 gram heroin base,

“Sepucuk pistol jenis revolver bersama 9 butir peluru hidup telah dirampas dalam serbuan ketiga yang dijalankan,” ujarnya.

Tegasnya, kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan hasil saringan air kencing didapati negatif dadah.

“Sindiket tersebut telah bergiat aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak 5 bulan lalu dan menjadikan kondominium yang didiami mereka sebagai tempat penyimpanan dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,

“Kesemua suspek direman selama 7 hari sehingga 12 Julai dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk sisatan lanjut,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply