LABUAN, 20 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan sebuah bot yang disyaki membawa minuman keras dari Wilayah Persekutuan (WP) Labuan di kawasan laut Menumbok, Sabah, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM WP Labuan, Asisten Superintenden Polis Saidul Maruf Rosli berkata, sebelum membuat penahanan pasukannya telah melaksanakan pemantauan keatas bot tersebut pada jam 4.10 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati muatan yang dibawa merupakan minuman keras dipercayai tidak bercukai dan ingin diseludup dari Labuan ke Tanah Besar Sabah,
“Minuman keras dan sebuah bot fiber berserta 2 buah enjin telah dirampas, nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM144,709.50,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam WP Labuan. – airtimes.my
