KUALA PERLIS, 20 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 46 set bubu naga di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika daripada barat pantai Kurung Tengar, Perlis, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bubu yang berukuran lebih kurang 10 meter panjang ini dikesan semasa rondaan Operasi Aman (Op Aman) melalui kain-kain berwarna merah mencurigakan terapung di permukaan air yang diikat pada pancang-pancang kayu dan disyaki penanda bubu naga pada jam 5.15 petang.
“Tinjauan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab,
“Bot ronda APMM memperluaskan radius pemeriksaan dan menemukan banyak lagi bubu naga ditinggalkan di kawasan tersebut. Anggota bot kemudian memeriksa setiap pancang kayu tersebut dan mendapati kesemuanya adalah bubu naga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM3,680 dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,
“Jika ditahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” ujarnya.
Penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain. – airtimes.my