BATU KURAU, 19 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Pinang menerusi Operasi Kontraban telah menahan seorang lelaki tempatan yang menjalankan aktiviti pengedaran rokok dan mercun tidak bercukai di sekitar Batu Kurau, pada Rabu.
Komander PPM Wilayah Satu, Asistan Superintenden Shamsol Kassim berkata, tangkapan tersebut adalah hasil daripada serbuan dari Unit Risikan Marin (URM) di 2 buah rumah yang berlainan di kampung Pantai Besar, Batu Kurau pada jam 6 petang.
“Serbuan pertama di rumah suspek telah merampas sebanyak 77,450 batang rokok seludup tidak bercukai,
“Hasil soal siasat awal membawa kepada lokasi kedua di mana menjumpai sebanyak 24,650 batang rokok seludup dan mercun tidak bercukai,
“Jumlah keseluruhan rokok tidak bercukai yang dirampas adalah sebanyak 102,100 batang rokok dan 180 kotak mercun pelbagai jenis,” ujarnya.
Shamsol berkata, tangkapan dan hasil rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kerian untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM151,345.00,” katanya.
Beliau menjelaskan, warga tempatan tersebut berusia 50 tahun dan tiada rekod jenayah lampau dipercayai aktif dalam pengedaran rokok seludup di kedai-kedai runcit berdekatan. -airtimes.my