Home Pertahanan dan Keselamatan Perang Rusia-Ukraine tidak jejas perolehan aset pertahanan negara – Hishammuddin

Perang Rusia-Ukraine tidak jejas perolehan aset pertahanan negara – Hishammuddin

by Air Times News Network

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=KDY9t6W8vyM[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine tidak memberi implikasi besar terhadap perolehan dan perancangan aset pertahanan negara mahupun kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memelihara keselamatan, kestabilan serta kedaulatan negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kementeriannya sentiasa mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan sumber perolehan aset-aset strategik sekali gus boleh mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu.

“Tidak sekadar itu, apa jua perkembangan dalam isu Ukraine-Rusia ini tidak akan menjejaskan kesiagaan ATM dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara,

“Tambahan pula, bagi memastikan tahap kesiagaan aset ATM sentiasa berada dalam keadaan yang baik, kementerian akan memperluaskan alternatif bagi mendapatkan bekalan alat ganti yang diperlukan daripada sumber negara lain yang menggunakan teknologi yang sama seperti India,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, pendirian Malaysia mengenai sekatan yang dikenakan oleh beberapa negara terhadap Rusia ekoran daripada tindakan pencerobohan terhadap Ukraine adalah jelas iaitu Malaysia tidak mengiktiraf sebarang sekatan secara unilateral.

“Sebarang sekatan harus dibuat melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sahaja. Perkara ini telah pun ditegaskan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Dewan Rakyat pada 8 Mac 2022,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan melalui syarikat-syarikat tempatan mempunyai kontrak dengan pihak Rusia bagi membekalkan alat-alat ganti pesawat Sukhoi SU-30MKM dan kontrak perolehan peluru Metis-M Anti-Tank Guided Missile (ATGM).

“Penting untuk saya maklumkan, sebelum berlakunya isu Ukraine-Rusia ini, kita sememangnya telah mempunyai perancangan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap Rusia,

“Syarikat tempatan yang terlibat iaitu Aerospace Technology System Corp Sdn Bhd (ATSC) juga telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai keupayaan untuk meneruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi SU-30MKM dan telah mempunyai stok alat ganti untuk 2 tahun,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply