Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Angkatan Tentera perkasa hubungan diplomasi pertahanan antarabangsa di Lubnan

Panglima Angkatan Tentera perkasa hubungan diplomasi pertahanan antarabangsa di Lubnan

by Air Times News Network

LUBNAN, 23 Feb – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM mengambil inisiatif memperkasakan jaringan hubungan diplomasi pertahanan serta antarabangsa melalui kunjungan hormat kepada pucuk pimpinan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), Angkatan Tentera Lubnan dan Duta Besar Malaysia ke Lubnan.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, kunjungan hormat ini sempena lawatan kerja Affendi ke Kontinjen MALBATT 850-9 yang melaksanakan misi pengaman di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.

Pada 21 Februari, Affendi telah disambut dengan penghormatan ketenteraan ketika membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Misi UNIFIL, Mr. Jack Christofides yang turut disertai oleh Timbalan Komander UNIFIL, Brigedier Jeneral Irvine Nii-Ayitey Aryeetey di Markas UNIFIL, Naqoura.

“Pertemuan Affendi dengan kedua-dua pucuk pimpinan UNIFIL berkenaan merupakan agenda utama dalam menyatakan komitmen Malaysia dan ATM khususnya dalam misi pengaman tersebut,

“Seterusnya berupaya memperkukuhkan keyakinan antarabangsa sejak Malaysia terlibat menghantar anggota ATM ke Lubnan bermula tahun 2007 yang kemudiannya turut disertai secara bersama oleh beberapa pegawai serta anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada tahun 2008,

“Bermula detik itu, Malaysia dan ATM khususnya terus diberi kepercayaan untuk kekal terlibat dalam misi pengaman di negara berkenaan yang bukan sahaja menyerlahkan kemampuan anggota ATM, malah turut membuktikan kredibiliti, kewibawaan serta kecemerlangan ATM itu sendiri di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi memperkasakan kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua buah negara, Affendi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Panglima Angkatan Tentera Lubnan Jeneral Joseph Khalil Aoun di Kementerian Pertahanan Lubnan di Beirut.

“Pengekalan dan pemerkasaan kerjasama pertahanan ini amat penting bagi meningkatkan kesefahaman dan menyatakan komitmen angkatan tentera kedua-dua buah negara,

“ATM melalui kontinjen MALBATT mengawalselia kawasan tanggungjawab seluas 288 km persegi serta memantau keselamatan di 48 buah perbandaran di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat, UNIFIL,” ujarnya.

Dalam masa sama, pengekalan kesefahaman dan keyakinan Lubnan khususnya angkatan tentera negara berkenaan terhadap ATM juga merupakan suatu pengiktirafan serta penghargaan.

“Kontinjen MALBATT amat komited melaksanakan pelbagai aktiviti operasi secara berkala bersama Angkatan Tentera Lubnan di bawah pengoperasian Independent and Coordinated Activity With Lebanese Armed Forces (COAWL),

“Ini membuktikan komitmen padu ATM dan tidak ketinggalan kerajaan Brunei melalui penyertaan ABDB di dalam pasukan MALBATT terhadap usaha mewujudkan keamanan sejagat di peringkat antarabangsa,

“Penyertaan ATM dalam MALBATT telah menambat hati rakyat Lubnan berdasarkan konsep winning the heart and mind melalui pelaksanaan program seperti Key Leaders Engagement, Combined Outreach Program, Program Khidmat Sosial dan program-program Civil Military Cooperation (CIMIC),

“Termasuklah menyediakan rawatan perubatan dan pergigian percuma serta membantu menaiktaraf kemudahan awam dan sekolah komuniti setempat,” katanya lagi.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera turut ke Kedutaan Malaysia di Beirut bagi mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Lubnan Tuan Yang Terutama (TYT) Azri Mat Yacob.

“Pertemuan ini merupakan antara inisiatif memperkasakan hubungan ATM dan Kedutaan dalam aspek perkongsian pandangan bagi usaha meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia-Lubnan melalui penglibatan dan peranan MALBATT dalam misi pengaman di negara berkenaan,” jelasnya lagi.

Turut mengiringi Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM, Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas ATM, Brigedier Jeneral Datuk Wan Amin Hafiz Wan Mahmud TUDM dan Komander MALBATT 850-9, Kolonel Megat Maz Ardi Nohuddin.

Menurutnya, penglibatan ATM dan ABDB melalui kontinjen MALBATT akan terus meletakkan ATM khususnya sebaris dengan angkatan tentera luar yang turut beroperasi di bawah misi pengaman UNIFIL terutamanya di sektor barat Lubnan.

“Ia sekaligus membuktikan pengiktirafan berterusan PBB terhadap ATM serta menunjukkan keupayaaan ATM dalam melaksanakan misi-misi pengaman di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi. – airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply