Home Pertahanan dan Keselamatan Parlimen fokus lokasi pangkalan TUDM, kesiagaan aset dan kes buli Zulfarhan Osman

Parlimen fokus lokasi pangkalan TUDM, kesiagaan aset dan kes buli Zulfarhan Osman

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini dijangka akan memberi fokus kepada 2 isu penting pertahanan tanah air.

Antara isu yang dibangkitkan adalah langkah kerajaan untuk kaji semula status lokasi pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan juga tahap kesiagaan aset Angkatan Tentera Malaysia.

Menurut Aturan Mesyuarat Parlimen untuk sesi 25 November, perkara-perkara tersebut telah diajukan kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Isu lokasi pangkalan TUDM di kawasan kepadatan penduduk tinggi telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

“Apakah Kerajaan akan mengkaji semula status lokasi pangkalan-pangkalan TUDM yang kini berada di kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta tidak strategik lagi seperti di Butterworth, Labuan dan Kuantan,

“Ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini sekiranya jet pejuang terhempas kerap berlaku seperti nahas pesawat Hawk 108 yang baru terjadi pada 16 November 2021 lalu dan lain-lain insiden di pangkalan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria meminta Menteri Kanan Pertahanan untuk menjelaskan tahap kesiagaan aset ATM dalam menghadapi pencerobohan di Laut China Selatan.

“Apakah terdapat sebarang perancangan bagi meningkatkan keupayaan aset-aset ATM sejajar dengan keperluan semasa bagi mengoptimumkan kawalan sempadan negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan dijangka hadir ke Sesi Kamar Khas Parlimen berhubung kes buli Zulfarhan Osman di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Permatang Pauh. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply