Home SemasaGlobal Turki kenakan sekatan diplomatik terhadap 10 duta asing

Turki kenakan sekatan diplomatik terhadap 10 duta asing

by Natasha Azereen

ANKARA, 25 Okt – Seramai 10 orang duta asing ke Turki telah dikenakan sekatan diplomatik oleh kerajaan negara itu.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan telah mengisytiharkan Persona Non Grata terhadap 10 duta asing iaitu Amerika Syarikah (AS), Kanada, Perancis, Finland, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand, Norway dan Sweden.

Tindakan diambil oleh Ankara berikutan kenyataan yang dikeluarkan kesemua Duta berkenaan berkaitan isu pembebasan ahli perniagaan, Osman Kavala.

“Saya telah mengarahkan Menteri Luar mengeluarkan pengisytiharan terbabit kepada 10 Duta tersebut dengan kadar segera,” kata Erdogan dalam satu kenyataan yang dipetik oleh media Turki, Daily Sabah.

Pada Isnin lalu, satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh beberapa kedutaan asing di Turki yang mendesak pembebasan Osman Kavala.

Osman, 64 tahun kini menjalani proses hukuman penjara kerana terlibat dalam protes terhadap kerajaan Turki di Taksim dan Gezi Park pada tahun 2013.

Kenyataan bersama tersebut ditemplak oleh pihak Kementerian Luar Turki yang menganggap ianya satu tindakan mencampuri urusan dalaman dan kehakiman negara itu.

“Tindakan kumpulan duta yang sebulat suara memberikan kenyataan sebelum ini, amatlah berlawanan dengan amalan diplomatik, khususnya berkaitan sesuatu kes pendakwaan yang masih berlangsung di negara kami,

“Ini adalah suatu perlakuan yang tidak boleh diterima, cuba mempolitikkan proses undang-undang dan memberi tekanan kepada badan kehakiman Turki,

“Ia juga bertentangan dengan kedaulatan undang-undang, demokrasi dan kebebasan badan kehakiman, ” jelas Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply