Home SemasaGlobal Tentera Laut AS terima F/A-18 Super Hornet Block III baharu dari Boeing

Tentera Laut AS terima F/A-18 Super Hornet Block III baharu dari Boeing

by Natasha Azereen

ARLINGTON, 28 Sep – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) telah menerima pesawat pertama F/A-18 Super Hornet Block III dari Boeing, semalam.

Menurut Boeing dalam satu kenyataan berkata, pesawat tersebut merupakan yang pertama daripada 78 buah F/A-18 Super Hornet yang akan dinaik taraf ke Block III melalui satu kontrak dengan pihak US Navy.

“Penghantaran pesawat pertama F/A-18 Super Hornet Block III dari Boeing kepada US Navy akan meningkatkan tahap kesiagaan pihak US Navy,

“Ia sekaligus meningkatkan keupayaan armada angkatan laut AS,” kata Kapten Jason “Stuff” Denney, Pengurus Program F/A-18 dan EA-18G US Navy.

Sementara itu, Naib Presiden Program F/A-18 dan EA-18G, Jen Tebo berkata, tingkat upaya terbaharu itu adalah sebagai persediaan untuk menghadapi ancaman masa hadapan yang sentiasa berubah-ubah.

“Kami membekalkan juruterbang US Navy dengan kelengkapan yang terkini untuk kegunaan mereka,

“Penghasilan dan tingkat upaya Block III jet pejuang ini adalah dibangunkan secara bersama dengan pihak US Navy,” katanya.

Boeing akan terus membekalkan F/A-18 Super Hornet Block III kepada US Navy sehingga pertengahan tahun 2030. Foto: Boeing

Block III merupakan standard tingkat upaya terkini untuk jet pejuang F/A-18 Super Hornet. Ia dilengkapi dengan sistem pemprosesan data terbaharu. Sistem baharu ini berperanan untuk mempercepatkan tindak balas juruterbang sekiranya berlaku perubahan situasi semasa secara mendadak.

Menurut Boeing, jet pejuang terbaharu ini mempunyai ruang khusus untuk menerima tingkat upaya atau naik taraf di masa hadapan bagi memanjangkan jangka hayat operasi F/A-18 Super Hornet.

Pada masa yang sama, syarikat tersebut akan melakukan kerja naik taraf F/A-18 Super Hornet Block II yang sedia ada ke Block III.

Boeing akan terus membekalkan keupayaan Block III kepada US Navy sehingga pertengahan 2030. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply