Home Pertahanan dan Keselamatan Polis kenal pasti 29 individu terlibat himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ – KPN

Polis kenal pasti 29 individu terlibat himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ – KPN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pihaknya telah mengenal pasti 29 individu yang terlibat dalam perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ yang diadakan di sekitar Dataran Merdeka, semalam.

Beliau berkata, polis telah memulakan siasatan ke atas penganjur dan peserta pehimpunan berkenaan di bawah peruntukan Akta 342 dan akta lain yang relevan.

“Manakala beberapa individu lain masih dalam proses dikenal pasti daripada rakaman video dan gambar,

“Kesemua individu yang terlibat diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Acryl juga berkata, polis telah menerima lebih daripada 20 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang membantah penganjuran perhimpunan berkenaan.

“Polis sebelum ini telah beberapa kali memberi peringatan supaya semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) demi keselamatan orang ramai serta menyatakan pendirian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang sengaja melanggar SOP,

“Sikap penganjur dan peserta yang berdegil untuk mengadakan perhimpunan walaupun telah diberikan nasihat agar mengutamakan keselamatan kesihatan merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab,

“Lebih-lebih lagi dalam situasi semasa ketika penularan wabak COVID-19 yang memerlukan Kerjasama semua untuk dibendung,” ujarnya.

Katanya, pemantauan polis semasa perhimpunan tersebut telah mengesan insiden di mana penganjur dan peserta secara jelas, telah melanggar syarat SOP PPN serta peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021 yang sedang berkuat kuasa. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply