Home Pertahanan dan Keselamatan Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Mazlan Lazim dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 25 Jun – Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang ke-27 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mazlan, 59, bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang sebelum ini dipegang Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN), 4 Mei lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam sidang media sesi penyerahan surat perlantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

KDN dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mazlan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Mazlan yang dilahirkan pada 25 Disember 1961 di Kota Setar, Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber,” katanya.

Sebelum ini, Mazlan pernah menjawat jawatan di daerah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah (TKPD) Melaka Tengah, Melaka; TKPD Tanah Merah, Kelantan; TKPD Shah Alam, Selangor; Pegawai Staf Latihan di Maktab Polis Kubu Bharu, Selangor dan Pegawai Belanjawan, Bahagian Latihan Bukit Aman.

Beliau turut menjawat sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Perlis dan KPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Manakala di peringkat kontinjen atau negeri, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan sebelum dinaikkan pangkat seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan.

Turut pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Polis sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

“Mazlan juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply