Home PolitikBarisan Nasional Zambry ganti Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN

Zambry ganti Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung BN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilantik Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan, malam tadi.

“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebulat suara bersetuju melantik Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir sebagai Setiausaha Agung BN yang baharu,

“Mesyuarat juga telah sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa BN Perlis yang baharu,” kata Ahmad Zahid.

Zambry menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Ahmad memegang jawatan Setiausaha Agung BN berkuatkuasa serta-merta pada 5 Januari tahun lalu, menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang sebelum itu dipecat daripada jawatan tersebut.

Manakala, Azlan pula menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ahli Parlimen Arau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin khususnya warga emas, OKU dan penduduk di kawasan pedalaman.

“Dewan Tertinggi juga menyeru semua pihak agar mematuhi SOP bagi pengawalan penularan COVID-19 yang sangat membimbangkan pada ketika ini,” jelasnya.

Sementara itu, pada mesyuarat secara maya itu turut dibentangkan Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.

Mesyuarat secara maya malam tadi dihadiri kesemua empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply