BINTULU, 29 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan 2 bot nelayan Vietnam kerana menceroboh perairan dan merompak hasil laut negara di lebih kurang 87 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena, kelmarin.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, tangkapan tersebut adalah berikutan pemantauan rapi di kawasan yang dipercayai menjadi ‘hotspot’ bagi bot- bot nelayan asing.
Selain itu, ia juga serta hasil daripada maklumat risikan dan aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing Vietnam di perairan Sarawak.
Beliau mengesahkan, anggotanya mengambil masa hampir satu jam untuk mengejar bot tersebut sebelum berjaya merapat dan menahan kedua-duanya.
“Hasil pemeriksaan dan geledah, mendapati 2 bot itu tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara,
“Manakala 25 kru termasuk 2 tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun itu telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” tambahnya.
Effendy berkata, semua kru termasuk 2 tekong dan 2 bot ditahan serta diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
“Manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 10 tan metrik ikan campur dirampas. Keseluruhan rampasan termasuk 2 bot dianggarkan bernilai RM2 juta,
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Kesemua kru menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19 setiba di jeti.-airtimes.my