Home Pertahanan dan Keselamatan Curi 1 tan ikan di perairan negara, nelayan Vietnam dicekup APMM

Curi 1 tan ikan di perairan negara, nelayan Vietnam dicekup APMM

by Nurulhuda

KUCHING, 28 Mei – Sebuah bot nelayan Vietnam sanggup melepaskan peralatan menangkap ikan bagi melupuskan bahan bukti dan cuba melarikan diri dari dicekup oleh pihak penguat kuasa.

Namun, usaha nelayan asing itu gagal, apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak berjaya memintas bot berkenaan selepas mengejar selama hampir 45 minit.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh anggotanya yang mengesan sebuah bot yang mencurigakan dan disyaki bot nelayan Vietnam sedang leka menangkap ikan di perairan negara pada jarak lebih kurang 100 batu nautika dari Tanjung Po, Kuching, kelmarin.

Beliau berkata, penahanan tersebut juga adalah hasil maklumat risikan serta aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan oleh nelayan asing di perairan Sarawak.

“Menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot tersebut melepaskan peralatan menangkap ikan sebagai cubaan untuk melupuskan bahan bukti dan telah cuba melarikan diri dari diperiksa oleh pihak penguat kuasa,

“Pihak penguat kuasa terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 45 minit untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam hantaran di media sosial milik APMM, semalam.

Zin Azman berkata, hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“6 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,

“Kesemua kru termasuk tekong dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Kuching untuk siasatan lanjut.

APMM menahan 6 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 51 tahun dalam operasi tersebut. Foto: APMM

“Manakala peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 7,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 1 tan metrik ikan campur dirampas,” tambahnya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kesemua kru telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti,” jelasnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply