JOHOR BAHRU, 19 Apr – Batalion Pertama Rejimen 501 Askar Wataniah (Bn 1 Rej 501 AW) telah mengadakan Program Prihatin Rej 501 AW dengan mendekati golongan gelandangan sekitar Bandaraya Johor Bahru untuk diagihkan juadah berbuka puasa, pada Sabtu.
Rej 501 AW menerusi laman media sosialnya berkata, program yang dicetuskan oleh Komander Rej 501 AW, Kolonel Rosli Abd Rahman ini telah melibatkan seramai 25 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP).
“Pelaksanaan program tersebut selaras dengan Tonggak Kelima Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Awam,
“Selain menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, program sebegini juga merupakan salah satu usaha Rej 501 AW bagi mempromosikan AW kepada orang awam,” kata kenyataan itu.
Program tersebut turut mendapat kerjasama dari Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Johor Bahru, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam dengan sumbangan berupa 100 bungkusan makanan serta minuman. – airtimes.my