Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Tentera Darat cekup 23 PATI ingin pulang ke negara asal

Op Benteng: Tentera Darat cekup 23 PATI ingin pulang ke negara asal

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia dan mengagalkan cubaan seludup 660 ekor burung murai di kawasan Pantai Sungai Rengit, Kota Tinggi, awal pagi semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI ditahan dalam Operasi Benteng (Op Benteng) ketika cuba keluar dari negara ini melalui lorong tikus.

“Pada jam 12.50 malam kelmarin, anggota ronda telah mengesan PATI yang sedang berkumpul di sekitar kawasan Sungai Rengit,

“Dalam masa yang sama, anggota petugas Pos Pemerhati turut mengesan kehadiran sebuah bot pancung yang sedang berlegar di kawasan Pulau Che Kamat,

“Pasukan telah mengatur gerak tim Quick Reaction Force (QRF) bersama Tim Dron dari Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) untuk menjejaki dan mengepung kawasan berkenaan. Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga turut membuat pengawasan di sekitar pesisiran pantai berhampiran,

“Hasil serbuan mendapati, 23 PATI warga Indonesia yang terdiri daripada 21 lelaki dan 2 wanita berusia sekitar 23 hingga 52 tahun,

“Kesemua PATI dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal,

“Pasukan juga turut menemui kenderaan jenis Proton Wira berhampiran dengan lokasi dipercayai telah digunakan oleh tekong darat, walaubagaimanapun tekong darat tersebut gagal dikesan oleh pasukan,” katanya

Dalam pada itu, anggota petugas Pos Pemerhati telah mengesan kehadiran sebuah bot pancung di pesisir pantai Kampung Simon sedang memindahkan barang dari daratan ke dalam bot.

“Tim QRF dikerah ke lokasi telah menemui 66 buah bakul yang berisi sekitar 660 ekor burung murai dianggarkan bernilai RM 363,000.00 dipercayai cuba diseludup keluar. Walau bagaimanapun penyeludup berkenaan dapat melarikan diri.

Tentera Darat turut merampas 66 buah bakul yang berisi 660 ekor burung murai dianggarkan bernilai RM 363,000.00. foto: Markas 3 DIV

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 394,410.95 termasuk rampasan PATI berjumlah RM 26,410.95 melibatkan wang tunai pelbagai jenis Matawang, telefon pintar, barangan kemas serta jam tangan pelbagai jenama dan kenderaan,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Manakala rampasan haiwan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Bandar Penawar,

“Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,

“Pasukan akan terus mengatur gerak Tim QRF bagi menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply