Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: PGA guna trak Hicom Handalan laksana rondaan di sempadan Sungai Golok

Op Benteng: PGA guna trak Hicom Handalan laksana rondaan di sempadan Sungai Golok

by Bernama

KOTA BHARU, 9 Jan  – Tugasan dan rondaan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sepanjang sempadan Malaysia -Thailand berhampiran Sungai Golok di Rantau Panjang tetap berjalan walaupun  hampir keseluruhan jalan raya di sempadan kedua-dua negara terputus, kata Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 PGA (PGA7) Supt Azhari Nusi.

Beliau berkata tugasan anggota tetap diteruskan serta rondaan dijalankan dengan menggunakan trak  Hicom Handalan yang mampu mengharungi air di kawasan yang tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil.

“Malah, kita kini menumpukan pemantauan di lorong-lorong tikus bagi mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Secara keseluruhannya, penugasan Op Benteng masih dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Azhari turut berkata selain menjalankan tugasan pembanterasan penyeludupan di sempadan negara, PGA7 juga tidak ketinggalan membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan terjejas antaranya di sekitar Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah menggunakan lori dan bot.

“Operasi memindahkan mangsa yang dijalankan adalah hasil kolaborasi antara agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Beliau juga berkata limpahan air dari Sungai Golok dekat Rantau Panjang, Pasir Mas yang kini mencatatkan paras 10.65 meter turut memberi kesan kepada pos-pos kawalan PGA terletak berhampiran sungai itu yang turut dinaiki air antara 0.5 hingga 2.2 meter (m).

Supt Azhari Nusi berkata sejak banjir mula melanda beberapa hari lepas kawasan di bawah tanggungjawab (KTJ) PGA turut dinaiki air sehingga memaksa 28 pegawai dan anggota di pos-pos kawalan dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!