Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan akan tentang habis-habisan, hapuskan LTTE – Hamzah

Kerajaan akan tentang habis-habisan, hapuskan LTTE – Hamzah

by Bernama

LARUT, 3 Dis – Semua pertubuhan pengganas termasuk Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan ditentang habis-habisan dan dihapuskan daripada terus wujud di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan bagi tujuan itu, kerajaan akan menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas mengenai laporan media bahawa seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan mendakwa dirinya sebagai ketua komander kumpulan pengganas LTTE 2.0, Hamzah berkata tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kenapa berani sangat nak ugut, negara kita ada undang-undang kalau (kumpulan pengganas) katakan mereka bebas lakukan segalanya. Kumpulan ini (LTTE) masih tersenarai sebagai kumpulan pengganas dalam negara kita.

Kita akan tangkap mereka daripada begitu sewenang-wenangnya melakukan apa mereka nak lakukan dalam negara kita,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk Parlimen Larut di sini, semalam.

Selain mengugut akan menembak mati Ketua Polis Negara, suspek juga menghantar e-mel kepada media mendakwa dia akan menyerang Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan.

Hamzah dalam pada itu menasihati PDRM supaya berhati-hati dan meminta rakyat agar tidak risau kerana pihak polis di seluruh negara akan bertugas memastikan keselamatan mereka. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply