Home Pertahanan dan Keselamatan OP Benteng: APMM tahan bot nelayan tempatan guna 8 PATI warga Myanmar

OP Benteng: APMM tahan bot nelayan tempatan guna 8 PATI warga Myanmar

by Nurulhuda

Pelabuhan Klang, 22 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan dua lagi bot nelayan tempatan yang disyaki mengupah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebagai nelayan di perairan negara.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, tangkapan tersebut dibuat di kedudukan 7.0 batu nautika barat Sekinchan, Selangor pada jam 5.00 petang, semalam.

“Tangkapan pertama dilakukan ke atas sebuah bot yang sedang menunda kurang dari 8 batu nautika dengan daratan,

“Hasil pemeriksaan mendapati 4 lelaki warga Myanmar bekerja di atas bot berkenaan. 3 kru daripadanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tekong pula memiliki pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh,

‘‘Sebuah lagi bot nelayan ditahan ketika kami dalam proses bot pertama ke jeti. Hasil pemeriksaan menemui empat lelaki warga Myanmar bekerja di atas bot tersebut dan disabitkan kesalahan yang sama,” tambahnya.

Rosli berkata, kesemua warga Myanmar tersebut yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 55 tahun akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka serta bot dan muatan ikan campur dianggarkan lebih kurang 75 kilogram, ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut,

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran dan akan merugikan negara,” tegas Rosli.- airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply