KUALA LANGAT, 16 Jun – Seramai 45 warga asing ditahan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan sejak April lepas sehingga semalam, ketika cuba keluar dan masuk melalui lorong-lorong tikus di beberapa lokasi di Selangor.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Supt Zulafendy Hassan berkata kesemua individu itu ditahan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang Utara, Klang Selatan, Kuala Langat dan Sepang dalam Op COVID-19 dan Op Benteng yang dijalankan dalam tempoh itu.
“Turut ditahan seramai 24 warga tempatan berkaitan kesalahan ingkar PKP, menjadi tekong darat, serta kesalahan berkait dadah dan jenayah. Kesemua mereka berumur antara 20 hingga 50 tahun.
“Sebanyak 13 kertas siasatan dibuka berkaitan pelbagai kesalahan itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pos-pos kawalan PGA di Kuala Langat dengan turut disertai oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor Supt Rudy Abdullah.
Sementara itu, Rudy berkata tinjauan itu dilakukan bagi melihat secara dekat keadaan sebenar beberapa lorong tikus yang dikesan di sekitar Kuala Langat.
“Sebelum ini, PGA mengesan 61 lorong tikus di pesisir pantai Selangor yang dipercayai menjadi laluan keluar masuk pendatang asing.
“Kita mengaturgerakkan kira-kira 200 pegawai serta anggota di enam daerah pesisir pantai di negeri ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing.
“Pemantauan ini dilakukan sepanjang tahun, namun sejak penularan wabak COVID-19, kita pergiatkan lagi operasi untuk mengelakkan pencerobohan semasa tempoh PKP,” katanya. – Bernama