KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pihak 6th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) menegaskan tindakan dua buah jet pejuang Su-35 milik Rusia terbang menghampiri pesawat rondaan maritim (MPA) P-8A Poseidon adalah tidak profesional.
Dalam kejadian yang berlaku 26 Mei lalu, dua buah jet pejuang Su-35 milik Tentera Udara Rusia telah memintas P-8A Poseidon di kawasan ruang udara antarabangsa di timur perairan Mediterranean.
“Pemintasan yang dilakukan adalah tidak profesional kerana juruterbang Rusia terbang pada jarak yang dekat dengan sayap Poseidon,
“Tindakan itu menyebabkan P-8A tidak mampu untuk melakukan penerbangan dengan selamat,” kata 6th Fleet dalam satu kenyataan.
Pihak US Navy menyatakan kejadian berlaku berterusan selama 64 minit.
Pada masa yang sama, pihaknya turut menegaskan cara penerbangan yang dilakukan oleh Su-35 itu adalah tidak selamat dan tidak sepatutnya berlaku.
“Tindakan sedemikian rupa tidak mengambarkan sikap profesional dan melanggar undang-undang penerbangan antarabangsa,
“Manuver sebegini turut membahayakan keselamatan semua pesawat yang sedang melakukan penerbangan,” tegasnya.
Menurut kenyataan yang sama, kejadian terbaharu itu merupakan insiden ketiga selepas dua pemintasan ‘tidak selamat’ berlaku pada April lalu.
US Navy turut menegaskan pesawat mereka terbang di ruang penerbangan antarabangsa dan mematuhi prosedur operasi penerbangan yang ditetapkan.
Su-35 Flanker E merupakan antara varian terbaharu Su-27 yang direka oleh Sukhoi Design Bureau. Jet pejuang ini dihasilkan oleh Komsomolsk-on-Amur Aircraft Plant. – Airtimes.my