Home Pertahanan dan Keselamatan Program Walkathon Tabung Pahlawan beri kesedaran fahami jasa-jasa pejuang negara

Program Walkathon Tabung Pahlawan beri kesedaran fahami jasa-jasa pejuang negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Program Walkathon Kutipan Tabung Pahlawan Peringkat Wilayah dan ‘Back-to-School’ anjuran lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk para pelajar sekolah untuk menghargai jasa-jasa pejuang negara yang terdahulu.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, program ini akan dilancarkan pada 21 Disember 2019 oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Dataran Perumahan Awam Sri Sarawak.

Pelbagai acara akan diadakan sempena program ini seperti persembahan-persembahan patriotik, penyampaian ‘Back-to-School’ sumbangan dari NGO-NGO dan juga kutipan derma.

Beliau berkata program ini bagi menghargai jasa pejuang-pejuang negara dahulu yang menentang komunis untuk mendapat kemerdekaan.

“Kebanyakan mereka (pejuang-pejuang) kini berumur dalam lingkungan 60 hingga 80-an dan mereka memerlukan banyak bantuan,

“Kita berharap rakyat Malaysia faham dan terus bersama-sama komited untuk memberi bantuan serba sedikit, bukan masalah banyaknya derma yang diberi tapi adalah komitmen yang diberi walaupun RM 1 atau RM 2,” kata Razali semasa sidang media program Walkathon Tabung Pahlawan Peringkat Wilayah di hadapan kompleks Kenanga Wholesale City, hari ini.

Menurut beliau, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk menghargai jasa-jasa para pejuang mempertahankan negara, dan tidak mengandaikan anggota tentera hanya sekadar makan tidur semata-mata.

“Selepas habis peringkat wilayah, selepas ini kita teruskan buat walkathon di peringkat parlimen-parlimen di bawah Wilayah Persekutuan,

“Jadi kita akan jelajah 9 parlimen di bawah wilayah dan juga ke sekolah-sekolah untuk menerangkan peranan serta fungsi tentera supaya para pelajar lebih mengetahui tugas-tugas seorang tentera,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan semua NGO, ahli-ahli korporat dan syarikat-syarikat untuk bersama-sama membantu menjayakan kempen ini untuk memperingati dan memahami jasa-jasa pejuang terdahulu.

Disamping itu, Pengerusi Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen (PTTB), Ahmadin Mohd Yusof berkata program ini juga dapat menggabungkan keseluruhan penduduk perumahan di Sri Sarawak, Loke Yew, dan Hang Tuah untuk membantu serta menghayati perjuangan seseorang tentera.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia, Cr. Gooi Sai Kaan menyeru masyarakat Cina di Malaysia bersama-sama untuk menyokong kempen ini.

Program ini adalah anjuran bersama oleh Pertubuhan Tentera Tidak Berpencen (PTTB), Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia, Persatuan Penduduk dan Gabungan NGO.

Related Articles

Leave a Reply