Home Pertahanan dan Keselamatan Resort larang tentera jaga perbatasan lalui kawasan peranginan di Pulau Layang-Layang

Resort larang tentera jaga perbatasan lalui kawasan peranginan di Pulau Layang-Layang

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Hari ini tular sekeping gambar diambil di sebuah resort yang memaparkan papan tanda melarang anggota tentera untuk melintasi kawasan tersebut.

Menurut sumber yang enggan dikenali berkata, larangan tersebut telah lama dibuat dan baru-baru ini salah seorang pekerja resort berkenaan telah bertindak menghalau pegawai tentera yang baharu sahaja tiba untuk melalui kawasan tersebut.

Difahamkan kejadian berlaku di Pulau Layang-Layang yang menempatkan sebuah pangkalan hadapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Stesen Lima. Pulau ini turut mempunyai sebuah resort pelancongan, Layang-Layang Island Resort. Pada ketika ini, resort tersebut ditutup sementara waktu berikutan monsun dan dijaga oleh beberapa orang pekerja.

Imej yang tular di halaman media sosial semenjak pagi tadi.

Terdahulu, sebuah akaun media sosial peminat pertahanan tempatan telah memuatnaik sekeping gambar yang menyatakan larangan anggota tentera untuk melalui kawasan resort berkenaan

 

“Mereka turut melarang anggota tentera berpakaian biasa untuk melalui kawasan tersebut dan bertindak menyoal identiti sesiapa sahaja yang cuba melalui kawasan resort,

“Sekiranya individu berkenaan adalah anggota tentera, mereka bertindak menghalau dan menyatakan kawasan tersebut adalah dilarang untuk dilalui oleh tentera,

“Kenapa larangan tersebut wujud walhal mereka selama ini telah merujuk kepada pasukan perubatan di pangkalan tentera berhampiran sekiranya berlaku masalah kesihatan di resort tersebut,” jelas sumber yang menghubungi Air Times.

Menurut sumber, anggota pasukan khas tidak terkecuali menerima tindakan sedemikian rupa.

Sehingga berita ditulis, tiada kenyataan balas dari pihak ATM mahupun Kementerian Pertahanan Malaysia berhubung larangan tersebut. Sementara itu, pihak Air Times telah cuba menghubungi pemilik resort namun tiada sebarang maklum balas diterima setakat ini.

Tinjauan Air Times di laman media sosial mendapati netizen menyuarakan kemarahan mereka mengenai tindakan resort berkenaan.

Seorang netizen, Reen Abdullah menyatakan tindakan resort berkenaan adalah satu tindakan yang benar-benar tidak menghargai pengorbanan anggota tentera dalam menjaga keselamatan negara.

“Dah ada kena culik esok taulah langit tinggi atau rendah, masa itulah kamu akan melutut kat anggota ATM,” katanya.

Sementara itu, Zul Hilmi Hamdun pula menyatakan kewujudan Pulau Layang-Layang merupakan hasil titik peluh ATM.

“Dulu ATM la yang bersusah-payah buka Pulau Layang-Layang tu,” katanya.

Pulau Layang-Layang merupakan salah satu daripada gugusan Kepulauan Spratlys. Mempunyai keluasan 35 hektar, pulau yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Sabah pada mulanya merupakan sebuah terumbu dan sebahagian daripada kawasan Gugusan Semarang Peninjau (GSP).

Kedudukan Pulau Layang-Layang. Sumber: Google Earth.

Sejarah Pulau Layang-Layang bermula dengan pendudukan Pasukan Khas Laut (PASKAL) di pulau berkenaan pada tahun 1983 dan merupakan salah satu daripada pengukuhan kedaulatan perairan Malaysia di Laut China Selatan.

 

Related Articles

Leave a Reply