Home Pertahanan dan Keselamatan Kumpulan kedua MALBATT 850-6 selamat tiba ke tanah air

Kumpulan kedua MALBATT 850-6 selamat tiba ke tanah air

by Air Times News Network

SUBANG, 9 Okt – Kumpulan kedua pasukan Pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6) selamat tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 5.20 petang tadi.

Kumpulan kedua yang diketuai Mejar Abdul Rahim Abu Kassim TUDM adalah terdiri daripada 15 pegawai dan 193 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 8 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki berkata, penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara amnya dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) membawa matlamat penting bukan sahaja kepada negara tetapi kepada dunia.

“Kontinjen MALBATT 850-6 telah memberikan komitmen yang baik dan menunjukkan semangat kerjasama dengan pasukan pemerhati kontinjen dari negara lain, angkatan tentera Lubnan dan juga rakyat setempat,” katanya.

Tambah beliau, walaupun bilangan anggota ABDB tidak ramai, kerjasama yang baik antara Malaysia dan Brunei telah berjaya memberi impak dalam meningkatkan hubungan erat antara satu sama lain.

“Selain daripada melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, MALBATT 850-6 juga terlibat di dalam aktiviti kemasyarakatan atau Civil-Military Cooperation (CIMIC) khususnya dalam memberikan bantuan perubatan dan rawatan secara langsung kepada penduduk tempatan,

“Sejak kedatangan kontinjen Malaysia di Lubnan pada tahun 2007 sehingga sekarang, kontinjen Malaysia terus diterima baik dan sokongan kepada kontinjen Malaysia juga terus meningkat,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Penerimaan Kumpulan Kedua MALBATT 850-6 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Kontinjen MALBATT 850-6 melibatkan seramai 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari ABDB mula bertugas sejak 24 September tahun lalu.

Turut hadir Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Pertama Anuar Mohamed; Penasihat Pertahanan Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel (U) Hishamuddin Abidin.

Related Articles

Leave a Reply