Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan 20 pendatang asing di Kunak

ESSCOM tahan 20 pendatang asing di Kunak

by Bernama

KUNAK, 6 Sept – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 20 individu pendatang asing dalam Op Gasak yang dijalankan selama lima jam di Kampung Kunak 3 di sini, semalam.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata daripada jumlah itu, 19 orang merupakan warga Filipina dan seorang lagi, warga Indonesia.

“Pendatang asing yang ditahan dalam operasi bermula 4 pagi sehingga 10 pagi itu terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita yang berumur antara 18 hingga 48 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Hazani, pada operasi itu 158 individu diperiksa dan dibawa ke Pusat Dokumentasi bagi tapisan keselamatan, sebelum 138 orang dibebaskan.

“20 orang yang ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dibawa ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, ESSCom turut menahan dua lelaki dipercayai Pala’u kerana memiliki peralatan dan bahan letupan untuk bom ikan.

“Kita (ESSCOM) merampas dua unit detonator dan tiga botol berisi bahan disyaki baja sebagai bom ikan,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata Op Gasak yang dilaksanakan di Zon Selamat Timur Sabah bagi menyasarkan kawasan perkampungan atas air dan pinggiran pantai yang disyaki menjadi tempat persembunyian dan penempatan pendatang asing.

“Operasi ini antara lain bagi membanteras kemasukan pendatang asing sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan serta mengesan dan menjejaki suspek yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan di kawasan perairan Kunak,” katanya.

Operasi diselaraskan ESSCOM itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?