Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Indonesia tingkat kerjasama tangani jenayah di sempadan

Malaysia-Indonesia tingkat kerjasama tangani jenayah di sempadan

by Bernama

TAWAU, 23 Ogos – Kerjasama keselamatan antara Malaysia dan Indonesia penting diperkasakan dalam menangani isu sempadan yang terdedah dan menjadi laluan penjenayah rentas sempadan, serta militan.

Ketua Staf Briged Kelima Infantri Malaysia, Lt Kol Kamarulzaman Mohd Yunos berkata kerjasama pasukan keselamatan itu, mampu membawa manfaat besar kepada sektor keselamatan kedua-dua negara.

“Perkara itu (lokasi penjenayah) kita tidak boleh katakan tidak berlaku, ianya mungkin berlaku di sepanjang perbatasan Malaysia (Sabah dan Sarawak) dan Indonesia yang terlalu panjang, jauh untuk dijaga, sebab itu kerjasama keselamatan itu penting dimeterai,” katanya ketika ditemui pada Pembukaan Patroli Terkoordinasi (PATKOR) ATM-TNI Siri 1/2019, di Pos Serudong, pada Khamis.

Majlis itu turut dihadiri Komandan Batalion Infrantri Raider (DANYONIF) 600/Modang, Lt Kol Inf Roland Wahyudi.

Dalam pada itu, Kamarulzaman berkata sebanyak dua pos gabungan baharu secara bersama telah dicadangkan untuk diwujudkan di dua lokasi terpilih iaitu Serudong dan Saliliran.

“Kita masih lagi menunggu daripada pihak negara Indonesia dan dalam mesyuarat pun kita telah kemukakan untuk membolehkan dua pos yang kita buka ini dijadikan pos gabungan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai PATKOR, menurutnya, tiada isu atau unsur sabotaj berkaitan memindahkan patuk atau batu sempadan sepanjang rondaan sempadan dilakukan.

PATKOR yang diadakan pada kali ini katanya, melibatkan seramai 27 anggota dari Tentera Darat Malaysia dan 27 anggota dari Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) terlibat yang bermula hari ini di Pos Serudong, Tawau.

ATM-AD Malaysia kali ini melibatkan pasukan yang sedang beroperasi di persempadanan iaitu Batalion Ketiga Rejimen Renjer Diraja dan juga Batalion Infantri Yonif Raider 600/Modang TNI-AD Indonesia yang mana melibatkan 2 pegawai dan 52 Lain-lain Pangkat.

Kamarulzaman juga berkata, tujuan utama aktiviti ini adalah untuk membuat rondaan di perbatasan kedua-dua negara secara bersama sejauh lebih kurang 24 km.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk memastikan keselamatan di sepanjang sempadan terjaga selain mengeratkan hubungan bilateral yang baik di antara kedua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply