Home Pertahanan dan Keselamatan Bersyukur tunai haji 81 tahun lebih awal

Bersyukur tunai haji 81 tahun lebih awal

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Meskipun dijangka bakal menunaikan haji pada 2100, seorang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Muhammad Kamil Abd Rauf tidak menyangka berpeluang menunaikan haji lebih awal.

Malah, Muhammad Kamil dan isterinya Siti Nurwani Ahmad Ridzuan yang masing-masing berusia 31 tahun merupakan bakal jemaah haji termuda daripada 164 jemaah yang terdiri daripada pegawai, anggota dan veteran ATM yang dapat mengerjakan ibadah itu di bawah kuota ATM.

Mereka akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 3 petang ini.

“Saya tidak sangka berpeluang menunaikan haji seawal ini kerana kalau ikutkan giliran sebenar mengikut Tabung Haji pada 2100, saya terpaksa menunggu lagi lebih 80 tahun.

“Bersyukur berpeluang pergi awal dan lebih manis, saya dapat pergi bersama isteri tercinta. Persiapan dan kelengkapan ke Tanah Suci telah saya buat sejak Mei lagi,” katanya.

Beliau ditemui ketika Majlis Pelepasan Jemaah Haji Angkatan Tentera Malaysia di Masjid Khalid Al-Walid, di sini yang disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Seorang lagi bakal jemaah haji, Lt Kol (B) Halim Yusof berkata beliau terharu dipilih menunaikan rukun Islam kelima itu selepas tiga kali mencuba.

“Alhamdulillah, bersyukur sangat dapat ke Tanah Suci ketika tubuh badan masih sihat…jika mengikut giliran sepatutnya giliran saya pada 2087. Persiapan dan kelengkapan ke Tanah Suci sudah lama ada, termasuk menjalani kursus haji setiap tahun kerana saya sudah bersedia dan menunggu hampir tiga tahun untuk menunaikan haji,” katanya.

Halim akan menunaikan haji bersama isteri, Roziyati Shahadan, 49, dan ibu mentua, Kamisna Abdullah, 70 tahun. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply