Home Pertahanan dan Keselamatan Perlukan tentera baharu berpengetahuan meluas dalam teknologi maklumat – Menteri Pertahanan

Perlukan tentera baharu berpengetahuan meluas dalam teknologi maklumat – Menteri Pertahanan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) — Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini, berkata kemajuan teknologi internet serta penggunaan revolusi jaringan internet yang meluas telah mencetuskan serangan siber sebagai senjata baharu mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata pada hari ini, sesiapa sahaja di mana-mana lokasi dengan menggunakan peranti seperti telefon pintar boleh memulakan serangan seumpamanya ke mana-mana sasaran di dunia.

“Dunia siber, tanpa sempadan, menjadi medan peperangan baharu untuk kita dalam usaha menentang keganasan. Keganasan kini lebih daripada kawasan fizikal seperti Syria dan Iraq.

“Serangan siber boleh menjadi sukar untuk ditangani dan memerlukan satu doktrin yang baharu untuk kita atasinya secara berkesan,” katanya dalam ucapannya bertajuk ‘Implikasi selepas kekalahan ISIS di Syria dan Iraq, bersempena Persidangan Keselamatan Antarabangsa Moscow kali ke-8 di Moscow, semalam.

Mohamad berkata kita memerlukan tentera baharu yang mempunyai pengetahuan meluas dalam teknologi maklumat.

Katanya, memerangi keganasan memerlukan kerjasama strategi keselamatan dalam pelbagai bentuk sama ada keras mahupun secara halus.

“Kita kini memerangi keganasan melalui penceritaan di sosial media. Kita kini berhadapan dengan puak pelampau yang penuh dengan kemarahan dan kebencian dan dalam kejadian baru-baru ini di New Zealand menunjukkan keganasan tidak mempunyai agama. Selagi pemikiran radikal dibenarkan untuk berada dalam kalangan masyarakat, sesiapa juga boleh jadi pengganas.

“Tiada satu acuan sesuai untuk semua dalam istilah puak pelampau atau profil pengganas, motivasi yang ditetapkan, tahap keradikalan dan ahaman pelampau dan trajektori mereka. Begitu juga dengan respons pencegahan keganasan dan penyelesaiannya. Ia satu fundamental yang kita perlu bersatu untuk menentang keganasan secara efektif,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply