Home Pertahanan dan Keselamatan Ops Yaman 2 diluluskan MKN – Hishammuddin

Ops Yaman 2 diluluskan MKN – Hishammuddin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Ops Yaman 2 yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet pentadbiran terdahulu, adalah diketuai dan diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bekas Menteri Pertahanan itu berkata pihak yang membuat pendedahan mengenai Ops Yaman 2 perlu memahami fungsi MKN untuk mengetahui pembabitan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Arab Saudi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong, tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku ketika membuat pendedahan terbabit.

“Dia lupa apa dia Majlis Keselamatan Negara. Sebab dia kata tidak bawa ke Kabinet. Dia patut tanya pada External Intelligence Office, tanya kepada MKN apa yang kita lakukan. Tetapi mesti ‘declassify ‘kerana ini membabitkan kepentingan negara.

“You siasat dengan orang yang betul-betul buat (risikan). Dia tidak tahu 763 (pelajar) kita diselamatkan, itu dia tak cerita.

“Ini semua membabitkan rahsia negara. Saya profesional (tidak mahu dedahkan) tetapi kalau dia betul-betul mahu tahu, gunakan agensi di bawah mereka sekarang untuk mengetahui isu sebenar.

“Bagaimanapun, semua maklumat itu mesti diubah status kerahsiaannya kerana ia membabitkan kepentingan keselamatan negara.

Kelmarin, Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat pembabitan ATM dalam Ops Yaman 2 pada 2015 yang dilaksanakan ketika Hishammuddin menerajui Kementerian Pertahanan, tidak mendapat kelulusan Kabinet.

Susulan pendedahan itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata tangan Malaysia turut ‘dibasahi darah rakyat Yaman’ yang terkorban kerana peluru dan letupan dibawa ATM.

Bagaimanapun, Hishammuddin tidak menjawab secara langsung sama ada pembabitan ATM bersama Arab Saudi dalam pergolakan di Yaman, perlu mendapat kelulusan Kabinet atau sebaliknya.

“Kita tidak hantar anggota ke Yaman, dan saya dah jawab dulu (dalam Parlimen) bahawa mereka berada di bumi Arab Saudi untuk pastikan sekiranya pelajar kita terhimpit dan ada dalam keadaan yang mencemaskan, sekurang-kurangnya kita dapat membantu.

“Sekarang ini kerajaan sudah tarik balik anggota kita. Kalau sesuatu berlaku suruh Chin Tong dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah) pergi ke Yaman selamatkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Dewan Rakyat hari ini.

Related Articles

Leave a Reply