Menurut laporan Utusan Online,  Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu akan berlepas ke Jakarta, Indonesia untuk merasmikan pavilion Malaysia bersempena dengan Forum dan Pameran Pertahanan Indonesia (Indo Defence) 2018 yang membuka tirainya hari ini.

Di bawah pavilion itu, terdapat sembilan pemain industri pertahanan tempatan yang dikoordinasikan oleh Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan.

Penyertaan Malaysia juga adalah bertujuan mengukuhkan jaringan hubungan antarabangsa memandangkan pada 26 hingga 30 Mac tahun depan, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’ 19) bakal dianjurkan negara, selain Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) pada April 2020 di ibu negara.

Pengurus Besar EN Projects (M) Sdn. Bhd., Norliza Abd. Manap yang terlibat dalam Indo Defence 2018 menzahirkan komitmen mereka sebagai penganjur LIMA’ 19 untuk menggunakan sepenuhnya pavilion Malaysia untuk tujuan promosi pameran maritim serta aeroangkasa itu.

“Ini sekali gus bakal merancakkan industri pertahanan dan keselamatan negara,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Pameran industri pertahanan antarabangsa itu akan dirasmikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini di JIEXpo, Kemayoran, Jakarta.