Home Pertahanan dan Keselamatan ASEAN setuju cadangan gabungan pasukan tentera bagi bantuan kemanusiaan

ASEAN setuju cadangan gabungan pasukan tentera bagi bantuan kemanusiaan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Menteri Pertahanan negara anggota ASEAN bersetuju dengan cadangan berhubung gabungan pasukan tentera untuk bersedia digerakkan pada bila-bila masa bagi memberi bantuan kemanusiaan kepada negara anggota rantau itu yang dilanda bencana besar.

Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini, persetujuan atas dokumen yang dicadangkan Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 itu selaras dengan temanya iaitu ‘Strenghthening Cooperation, Building Resilience’.

“Persetujuan atas dokumen ini membolehkan wakil tentera dari negara Pengerusi ASEAN ditempatkan di Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) di Jakarta bagi tujuan penyelarasan bantuan bencana ke mana-mana negara di rantau ASEAN yang dilanda bencana,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri mesyuarat ADMM ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 itu di Singapura selama dua hari bermula semalam.

Menurut kenyataan itu, semua Menteri Pertahanan negara ASEAN telah menandatangani dokumen Deklarasi Bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN’ yang menyatakan komitmen untuk melaksanakan beberapa inisiatif.

Antara inisiatif itu termasuk penubuhan ‘Virtual Network of ASEAN Chemical, Biological and Radiological (CBR) Defence Experts, cadangan inisiatif menangani keganasan dan pertukaran maklumat yang dikenali sebagai ‘Our Eyes’.

“Ketiga-tiga inisiatif ini mempamerkan kerjasama strategik antara negara ASEAN dalam usaha memerangi ancaman keselamatan bukan tradisional, khususnya isu ekstremisme dan keganasan,” kata kenyataan itu.

Beberapa inisiatif lain yang turut dipersetujui termasuk inisiatif ‘Guidelines For Air Military Encounters’ yang berperanan sebagai panduan kepada pesawat tentera apabila berlaku pertembungan di udara bagi memastikan keselamatan pesawat tentera serta cadangan pelaksanaan Eksesais Maritim ASEAN-China pada 2018 dan Eksesais Maritim ASEAN-Amerika Syarikat pada 2019.

Selain menghadiri mesyuarat itu, Mohamad turut menghadiri tiga sesi mesyuarat dengan Amerika Syarikat, China dan Jepun selain mengadakan tujuh sesi pertemuan dua hala dengan Australia, Brunei Darussalam, India, Indonesia, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Antara perkara yang dibincangkan adalah hubungan pertahanan dua hala dengan negara terbabit, isu keselamatan serantau, krisis kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya serta isu keselamatan maritim.

Menurut kenyataaan itu, Mohamad juga mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawatan beliau Dr Ng Eng Hen di Kementerian Pertahanan Singapura dan Timbalan Perdana Menteri Singapura yang sedang memangku jawatan perdana menteri Teo Chee Hean.

“Beliau juga telah berkesempatan melawat Information Fusion Centre (IFC) di Pangkalan Tentera Laut Republik Singapura di Changi serta 3rd Singapore Combined Arms Division pada hari pertama di Singapura,” katanya.

Mohamad juga menggunakan platform mesyuarat ADMM ke-12 dan ADMM-Plus untuk menyampaikan undangan ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2019 (LIMA ‘19) yang akan bermula 26 hingga 30 Mac 2019 di Langkawi kepada semua Menteri Pertahanan yang hadir.

Malaysia mengucapkan tahniah kepada Singapura atas kejayaan sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2018 dan mengalu-alukan Thailand selaku pengerusi ASEAN 2019, menurut kenyataan itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply