Home Pertahanan dan Keselamatan PBTLDM gesa kerajaan tambah baik kursus kemahiran ATM

PBTLDM gesa kerajaan tambah baik kursus kemahiran ATM

by Air Times News Network

JITRA, 14 Ogos – Kerajaan digesa menambah baik silibus kursus kepakaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memberi peluang kedua kepada bekas anggota tentera yang tidak berpencen mendapat pekerjaan dalam sektor swasta mahupun kerajaan apabila menamatkan perkhidmatan.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) cawangan Perlis, Leftenan TLDM (B) Baharin Baharom berkata, kursus-kursus kemahiran yang ada ketika ini perlu dinaik taraf supaya mendapat pengiktirafan dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diperlukan oleh pihak industri.

“Mereka ini sebelum menamatkan perkhidmatan telah dilengkapi dengan pelbagai kursus kemahiran mengikut standard yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia namun sukar mendapat pekerjaan selepas tamat perkhidmatan.

“Jadi sudah sampai masanya ATM bekerjasama dengan JPK menambah baik kursus-kursus yang diikuti selama ini agar mereka yang menamatkan perkhidmatan awal pada usia 30-an mudah mendapat pekerjaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita pada Program Santai Dusun Durian Bersama Wartawan Wilayah Utara di Dusun Durian Guar Manau, Padang Perahu, di sini, semalam.

Baharin berkata, tanggapan salah masyarakat terhadap bekas tentera yang hanya layak bertugas dalam bidang keselamatan selepas tamat perkhidmatan juga menyebabkan kepakaran yang dimiliki seperti pengkeranian, kejuruteraan elektrik dan jentera, kulinari, dan muzik menjadi sia-sia.

Sementara itu, seorang anggota PBTLDM, Mala Bahari, 59, berkata selepas menamatkan perkhidmatan pada 1991 tanpa berpencen, dia hanya bekerja sendiri dengan mengerjakan sawah dan menjadi tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Saya hanya berkhidmat selama 13 tahun namun dalam perkhidmatan saya dilatih dalam bidang kejuruteraan menyelamat dan pertolongan cemas namun selepas tamat perkhidmatan sangat sukar mendapat kerja”, katanya.

Related Articles

Leave a Reply