SANDAKAN, 31 Jul – Sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun perlu diperluaskan ke peringkat sekolah dalam usaha menggalakkan generasi muda menghargai pengorbanan anggota pasukan keselamatan untuk negara.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Hiew Vun Zin mencadangkan perkara itu kerana mahu semangat patriotik dan cintakan negara harus ada pada setiap kalangan rakyat negara ini.
Nilai itu harus dipupuk dari peringkat sekolah lagi dan antara program yang sesuai ke arah itu adalah menganjurkan sambutan Hari Pahlawan, katanya ketika ditemui pemberita selepas acara sambutan Hari Pahlawan peringkat daerah Sandakan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Karamunting berkata penganjuran sambutan Hari Pahlawan di peringkat sekolah rendah dan menengah penting untuk mengingatkan generasi muda mengenai sejarah negara untuk mencapai kemerdekaan yang turut disumbangkan dengan pengorbanan anggota pasukan keselamatan.
“Saya melihat ada generasi muda sekarang tidak tahu mengenai sambutan Hari Pahlawan dan sebab itu terdapat keperluan menganjurkan acara seperti ini di peringkat sekolah,” kata Hiew.
Acara sambutan Hari Pahlawan peringkat daerah Sandakan dihadiri anggota dari beberapa agensi pasukan keselamatan dan unit beruniform sekolah antaranya 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Sri Kinabatangan, Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pandu Puteri.
Turut hadir Panglima Wilayah Laut Dua TLDM Datuk Ganesh Navaratnam dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Mohd Hamsan Awang Supain.
Acara dimulakan dengan tiupan ‘The Last Post’ oleh anggota 22 RAMD dan disusuli bacaan sajak bertajuk ‘Pahlawan’ oleh Sukri Suradi, kakitangan MPS sebelum semua yang hadir bertafakur selama 30 saat untuk mengenang anggota pasukan keselamatan yang terkorban.
Ia disusuli bacaan doa oleh Ketua Daerah Sandakan Awang Damit Abdul Rahim dan tiupan ‘Rouse’ oleh anggota 22 RAMD pada akhir acara. – BERNAMA