Home Pertahanan dan Keselamatan Anggota kumpulan Abu Sayyaf dipenjara 13 tahun

Anggota kumpulan Abu Sayyaf dipenjara 13 tahun

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 24 Jul – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun terhadap seorang lelaki warga Filipina selepas dia mengaku bersalah menjadi anggota kumpulan Abu Sayyaf.

Hakim Alwi Abdul Wahab memerintahkan Marsan Ajilul @ Anuar Mohamad Asnalul, 32, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 15 Mac lepas.

Marsan Ajilul mengaku menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, dalam negeri ini, sejak 31 Julai 2012 hingga 15 Mac 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan Akta 574.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, dalam rayuannya mengakui kesilapan menyertai kumpulan militan, selain turut memberitahu mahkamah bahawa dia telah bertaubat dan melarikan diri ke Malaysia untuk memulakan kehidupan baru.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana tertuduh melakukan satu kesalahan serius kerana ia melibatkan keganasan serta kes itu mempunyai kepentingan awam.

Marsan Ajilul turut diperintahkan menjalani hukuman penjara tersebut secara berasingan dengan hukuman berhubung kesalahan imigresen dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.

Pada 13 April lepas, Marsan Ajilul dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan masuk ke Sabah secara haram dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan perlu menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 15 Mac lepas.

Bapa empat anak itu dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta sama.

Marsan Ajilul didakwa melakukan kesalahan sebagai seorang bukan warganegara Malaysia didapati masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah untuk membenarkan tertuduh memasuki dan tinggal di negeri ini.

Tertuduh ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kira-kira 10.30 pagi pada 15 Mac lepas.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply