Kota Kinabalu, 24 April – Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang akan berakhir pada 6 petang hari ini dilanjutkan hingga 9 Mei, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.
Beliau berkata, dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan terbabit diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.
Kata Ramli lagi, perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.