Home SemasaGlobal Leonid Rink dakwa pernah hasilkan agen saraf

Leonid Rink dakwa pernah hasilkan agen saraf

by Noor Sheila Amin

Moscow, 21 Mac – Seorang saintis Russia, Leonid Rink memaklumkan kepada media tempatan bahawa beliau bekerja dengan satu program rasmi menghasilkan agen saraf (Novichok) yang dikatakan Britain untuk digunakan terhadap bekas perisik Sergei Skripal. Ia berbeza dengan dakwaan Moscow yang tidak pernah membangunkan Novichok.

Agensi RIA Novosti dimaklumkan bahawa beliau bekerja dalam program disokong kerajaan sehingga awal 1990-an. Beliau menambah Sergei Skripal dan anak perempuannya Yulia akan mati jika Moscow terbabit dalam insiden meracun itu.

“Mereka masih hidup. Itu bermakna sama ada ia bukan sistem Novichok sama sekali atau aplikasi campuran yang teruk. Atau mungkin selepas terkena serangan, pihak United Kingdom menggunakan penawar, dalam kes mereka kerana tahu jenis racun yang digunakan,” katanya dalam temu ramah.

Rink berkata, beliau bekerja di sebuah makmal kerajaan di bandar tertutup Shikhan selama 27 tahun, di mana pembangunan Novichok membentuk asas disertasi ijazah kedoktorannya.

“Sekumpulan besar pakar di Shikhan dan Moscow berusaha menghasilkan Novichok,” katanya.
Timbalan Menteri Luar Russia Sergei Ryabkov berkata minggu lalu, Moscow tidak pernah menganjurkan program membangunkan senjata kimia atau membangunkan agen toksik digelar Novichok,” katanya.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Luar Maria Zakharova berkata, Britain memilih nama ‘Novichok’ kerana ia berbunyi Russia dan akan mengaitkan Moscow dalam cubaan bunuh itu.

“Nama itu mewujudkan kaitan dengan Russia, sesuatu dengan Russia untuk memfokuskan perhatian terhadap negara kami,” kata Zakharova menambah Britain, Slovakia, Republik Czech atau Sweden mungkin menjadi sumber agen saraf itu.

Skripal, bekas pegawai tentera Russia yang menjual rahsia kepada Britain telah berpindah ke sana dalam pertukaran perisik pada 2010 kekal kritikal bersama anak perempuannya Yulia, selepas ditemui tidak sedarkan diri di atas bangku sebuah taman.

Penyiasat daripada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) tiba di Britain semalam untuk mengutip sampel agen saraf digunakan.

Related Articles

Leave a Reply