Home Pertahanan dan Keselamatan Skim pelaburan khas ASB untuk anggota ATM, Polis

Skim pelaburan khas ASB untuk anggota ATM, Polis

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) menawarkan Skim Pelaburan Khas untuk memudahkan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Skim berkenaan menyediakan pakej pembiayaan untuk tempoh lima dan 10 tahun bagi anggota dan veteran ATM, manakala 10 tahun untuk anggota KPDRM.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata skim itu ditawarkan bagi menggalakkan warga ATM dan PDRM melabur dan membina tabungan yang kukuh menerusi pelaburan dalam ASB.

<“Menerusi skim ini, mereka boleh melabur dalam ASB dengan membayar ansuran bulanan tetap yang berpatutan kepada Bank Muamalat. Ini satu kaedah ‘forced saving’ (simpanan paksaan) yang kita yakin mampu membantu mereka untuk mempunyai tabungan kukuh dalam ASB.

“Dengan kaedah ‘forced saving’ ini, pelabur dapat membentuk disiplin pelaburan berkala lebih berkesan untuk jangka panjang, seterusnya menikmati manfaat pengembangan pelaburan daripada kuasa faedah kompaun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, agihan pendapatan tahunan ASB yang diperoleh pelabur tidak boleh dikeluarkan sehingga tamat tempoh pembiayaan.

Bagi memastikan pelabur tidak berasa terbeban, jumlah ansuran bulanan yang dikenakan adalah tidak melebihi 10 peratus daripada gaji kasar mereka.

Jika pelabur mengambil kemudahan pembiayaan sebanyak RM70,000, mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM218 untuk 10 tahun, yang mampu dibiayai oleh pelabur.

Berdasarkan andaian pulangan purata tahunan ASB ialah tujuh peratus, pelabur akan mempunyai jumlah tabungan terkumpul antara RM55,000 hingga RM58,000 pada akhir tempoh pembiayaan.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata ATM menghargai usaha PNB kerana memberi ruang kepada anggota dan veteran ATM untuk melabur di dalam skim pelaburan khas ASB ini melalui Bank Muamalat.

“Anggota dan veteran ATM boleh memilih untuk melabur dengan modal serendah RM2,000 bagi pembiayaan 14,000 unit saham amanah sehingga maksimum RM20,000 bagi pembiayaan 140,000 unit saham amanah,” katanya.

Sebagai permulaan, ATM menyasarkan lebih 40,000 anggota serta veteran ATM melanggan skim berkenaan tahun ini.

Skim berkenaan dijadual dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada esok.

Manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, ketika mengulas mengenai skim berkenaan berkata, KPDRM menganggarkan lebih 20,000 ahli akan melanggan skim itu, tahun ini dan ia akan dilancarkan secara rasmi pada 25 Mac 2018, bersempena dengan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-211.

Related Articles

Leave a Reply