Home Pertahanan dan Keselamatan 3,500 unit RUMAWIP dibina untuk anggota ATM

3,500 unit RUMAWIP dibina untuk anggota ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Kementerian Wilayah Persekutuan bakal membina 3,500 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) bagi kemudahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata projek berkenaan adalah kerjasama dengan Kementerian Pertahanan menerusi projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan bagi membolehkan setiap anggota tentera memiliki rumah kediaman sendiri di ibu kota.

“Projek ini dijangka akan dilancarkan pada bulan Mac depan. Ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh ATM.

“Harga seunit kediaman yang bakal ditawarkan adalah serendah RM150,000 sehingga RM250,000 dengan keluasan antara 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

“Pelbagai kemudahan seperti surau dan dewan serba guna akan disediakan untuk kegunaan,” katanya selepas merasmikan Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Bandar Tun Razak, di Kem Tentera Sungai Besi, hari ini.

Tengku Adnan berkata, pihaknya turut bersetuju menaik taraf taman permainan Sekolah Kebangsaan Pangkalan Tentera Darat dengan kos RM100,000 dan pembinaan padang futsal berjumlah RM150,000.

“Kemudahan ini adalah untuk rakyat dalam menjamin kesejahteraan hidup bersama,” katanya.

Sementara itu, kementerian mengekalkan tema ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ sebagai tema Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018.

Malah, program Kenduri 1Wilayah Persekutuan yang diadakan diharap dapat menanam semangat kebersamaan dan keharmonian rakyat.

Related Articles

Leave a Reply