KUALA LUMPUR, 24 Jun – Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan tidak berpencen kebanyakkan tidak senang duduk apabila dipaksa membuat pembayaran baki pinjaman perumahan dalam masa yang ditetapkan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).
Rata-rata mereka berang dengan tindakan LPSSA yang menetapkan untuk membuat bayaran sekaligus baki pembiayaan perumahan tersebut pada kadar 4 peratus dalam tempoh 30 hari dari tarikh tamat perkhidmatan mereka.
Seorang pesara tentera, Mejar Rosman (Bersara) yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam ATM berkata, tindakan pihak LPPSA untuk menyamakan perkhidmatan anggota tentera dengan perkhidmatan awam lain amatlah tidak adil serta berbentuk penganiayaan secara amnya kepada anggota ATM.
“Saya telah diarahkan untuk membuat pembayaran secara sekaligus berjumlah RM579,470.00 dalam masa 30 hari bermula 26 Mei 2020,
“Ini berikutan pada pandangan LPPSA, saya telah memungkiri perjanjian perumahan kerana ‘meninggalkan perkhidmatan’,
“Tiada istilah ‘meninggalkan perkhidmatan’ untuk anggota tidak berpencen di dalam ATM,” jelasnya.
Pada bulan April 2019, pihak LPPSA telah memutuskan untuk melaksanakan tindakan tuntutan sekaligus ke atas baki pembiayaan perumahan bagi anggota ATM yang menamatkan perkhidmatan tidak berpencen selaras dengan Pekeliling-LPPSA 1/2018.
LPPSA juga telah menetapkan kadar faedah bagi peminjam yang dikategorikan ‘Meninggalkan Perkhidmatan’ akan dikekalkan pada kadar 4% dengan syarat peminjam membuat penyelesaian penuh ke atas baki pinjaman dalam tempoh 30 hari dari tarikh tamat perkhidmatan.
Sekiranya gagal, kadar faedah akan dinaikkan kepada 7% setahun atas baki pokok dan penyelesaian penuh perlu dijelaskan dalam tempoh masa yang akan ditetapkan oleh LPPSA bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil ke atas peminjam berkenaan.
Keputusan LPPSA yang melaksanakan tindakan bayaran sekaligus terhadap mereka, masih berkuatkuasa sehingga pindaan baru dikeluarkan oleh pihak LPSSA.
Namun, pihak ATM menyatakan perkara tersebut masih dalam kajian semula oleh pengurusan LPPSA berikutan beberapa siri perbincangan yang telah diadakan untuk mempertimbangkan pengecualian penguatkuasaan peratuan itu dikenakan ke atas anggota ATM.
Ini kerana terdapat perbezaan syarat-syarat perkhidmatan Skim Perkhidmatan ATM berbanding Skim Perkhidmatan Awam yang dikeluarkan oleh LPSSA.
Sehingga kini belum ada sebarang keputusan dibuat oleh pihak pengurusan LPPSA berhubung dengan rayuan yang dikemukakan. Justeru itu, pelaksanaan pindaan peraturan ini masih berkuatkuasa sehingga ada pindaan baru (sekiranya ada) dikeluarkan oleh pihak LPPSA.-airtimes.my