SEMENYIH, 18 Julai – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan mencemar duli ke kilang Cendana Auto Sdn Bhd (CASB) di Semenyih bagi meninjau perkembangan semasa industri pertahanan tempatan.
Lawatan berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan terkini kenderaan taktikal dan usaha pemindahan teknologi yang digerakkan oleh syarikat tempatan itu dalam memperkukuh kapasiti keupayaan pertahanan negara.
Baginda berpeluang melihat secara dekat proses pembuatan varian terbaharu syarikat berkenaan iaitu GS Cargo, iaitu kenderaan General Service yang mampu membawa lapan anggota di bahagian belakang serta boleh digunakan untuk tugasan logistik dan operasi pelbagai bentuk muka bumi.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menandatangani buku lawatan sempena kunjungan ke ibu pejabat Cendana Auto Sdn Bhd di Semenyih, Selangor. Foto: AirTimes
Selain itu, Cendana Auto turut mempersembahkan pembangunan Proof of Concept (POC) bagi kenderaan perisai Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), iaitu hasil kerjasama strategik dengan syarikat pertahanan Korea Selatan, Hanwha Aerospace. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan pemindahan teknologi dan kolaborasi kejuruteraan antara dua pihak.
Dalam satu kenyataan hari ini, CASB menyasarkan untuk memperluas pengeluaran varian kenderaan pertahanan buatan Malaysia yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran anak tempatan.
Usaha ini bukan sahaja bertujuan memperkasa industri pertahanan tanah air, malah turut disasarkan untuk menembusi pasaran eksport di rantau Asia hingga ke antarabangsa.
Cendana Auto telah menjalinkan kerjasama bersama institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dalam melahirkan tenaga mahir tempatan serta memperkukuh aspek teknikal dan inovasi dalam industri pembuatan pertahanan.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bergambar bersama pengurusan tertinggi dan warga kerja Cendana Auto Sdn Bhd sempena lawatan baginda ke fasiliti syarikat tersebut di Semenyih, Selangor. Foto: AirTimes
Seiring dengan hala tuju pembangunan industri, syarikat ini kini memberi tumpuan kepada penghasilan kenderaan taktikal ringan, kenderaan operasi khas, serta pelbagai prototaip baharu yang disokong oleh penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Syarikat Cendana Auto pada asalnya hanya terlibat dalam servis dan sokongan kenderaan komersial sebelum mengembangkan operasi ke dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
Untuk rekod pada Jun 2025, syarikat ini telah berjaya menyerahkan sebanyak 300 buah Van ORT (Direct Response Transit) kepada syarikat Prasarana untuk digunakan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.-airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #RajaMudaPerlis #CendanaAuto #IndustriPertahanan #MIFV
