Home Pertahanan dan Keselamatan LMS Batch 2 lebih lincah, pantas pertahankan kedaulatan perairan negara

LMS Batch 2 lebih lincah, pantas pertahankan kedaulatan perairan negara

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 5 APRIL – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan Kapal Misi Pesisir Batch Kedua (LMS Batch 2) direka untuk mempunyai kelajuan yang tinggi.

Menurutnya, ini bagi membolehkan kapal tersebut digunakan dalam aturgerak cepat (rapid deployment) bagi tujuan pemintasan.

Tambahnya, kapal tersebut mempunyai sistem persenjataan yang berkeupayaan untuk menggempur sasaran permukaan dan udara.

“LMS ini lebih laju dan boleh rapid deployment untuk kita buat manoeuvre supaya dia sebagai interceptor,

“Cumanya LMS tidak ada surface to sub (anti submarine warfare),” katanya di Dewan Negara, semalam.

Beliau turut menyatakan harapan agar Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan meluluskan perolehan 3 buah LMSB2.

“3 buah LMS yang akan perolehi adalah daripada negara yang mempunyai keupayaan yang jelas dan rekod membina kapal,” ujar beliau.

Semalam, Menteri Pertahanan menegaskan kedaulatan negara terutamanya di perairan Laut China Selatan tidak boleh dikompromi dan perlu dipertahankan.

Beliau menyatakan negara perlu bertindak balas dengan meletakkan aset mereka bagi memperagakan kehadiran (show off force) dan menegaskan kedaulatan negara.

“Kalau orang letak kapal, takkan kita nak letak perahu. Bukan nak perang, tetapi kita jangan diperlekeh (dipandang rendah) oleh orang (pihak luar),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan menyatakan beliau ke Turkiye bagi tujuan untuk perolehan LMSB2 dari negara itu.

Walaupun lawatan pada 20 Mac lalu tidak menyatakan sebarang kata putus mengenai perolehan LMS Batch 2, Air Times menjangkakan perkara ini akan menjadi tumpuan semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 pada Mei kelak.

Pada tahun lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menyuarakan keperluan mereka untuk memperolehi kapal kombatan terutamanya LMSB2 bagi mengisi keperluan angkatan laut itu.

Sementara itu, sumber menyatakan kepada Air Times model dan jenis kapal yang dipilih masih belum diputuskan walaupun kapal ADA dan C92 menjadi sebutan umum pada ketika ini.

LMS merupakan salah satu komponen Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM. Kapal ini direka untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan (constabulary) dan mampu dipertingkatkan keupayaan kepada taraf kovet sekiranya diperlukan.

Sebelum ini, Malaysia memperolehi 4 buah LMS daripada China. Namun begitu, kapal-kapal ini dilihat tidak mempunyai keupayaan kombatan yang diperlukan memandangkan sistem persenjataan kapal tersebut hanya bergantung kepada meriam utama. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply