Home Semasa COVID-19: 4,055 kes sembuh, 14 kematian hari ini

COVID-19: 4,055 kes sembuh, 14 kematian hari ini

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Sebanyak 4,055 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan 14 kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka sembuh itu menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 256,678 kes.

Manakala kes jangkitan baharu pula sebanyak 2,468, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 288,299 kes dengan 30,475 kes aktif.

“Daripada jumlah itu, 4 kes import dan 2,464 kes membabitkan penularan tempatan,

“Seramai 196 pesakit COVID-19 menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 92 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, negeri Selangor terus melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 932 kes. Daripada jumlah ini, 579 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ia diikuti Johor sebanyak 428 kes dan Perak sebanyak 308 kes,

“Sebanyak 175 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes kematian hari ini melibatkan 10 kes di Selangor, Sarawak (2), masing-masing 1 kes di Johor dan Sabah.

“Sebanyak 13 kes kematian melibatkan warganegara dan 1 kes bukan warganegara,” ujarnya.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaporkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan 11 kluster berkaitan tempat kerja, 2 kluster melibatkan komuniti. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply