KUALA LUMPUR, 26 Jul – Kemampuan negara-negara ASEAN + 8 dalam bertindak memberi bantuan kemanusian semasa bencana diuji dalam Table Top Exercise (TTX) di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di sini.
Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Datuk Asghar Khan Goriman Khan berkata latihan itu berdasarkan senario taufan besar dan gempa bumi yang melanda Metro Manila, Filipina.
“Dalam memberi bantuan kemanusian dan menangani bencana, satu prosedur operasi standard (SOP) yang dipanggil ASEAN Military Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG ON HADR) telah dirangka negara-negara terlibat dalam latihan berkenaan,” katanya pada sidang media ketika majlis pembukaan TTX semalam.
SOP ini dilihat beliau sebagai kompleks kerana dalam situasi bencana sebenar, ia tidak hanya melibatkan pasukan ketenteraan tetapi turut melibatkan organisasi awam seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre), katanya.
TTX ini disertai kesemua 10 negara ASEAN dan lapan negara lain sebagai rakan dialog iaitu Amerika Syarikat, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Russia.
Latihan ini yang diterajui ATM dan United States Pacific Command (USPACOM) dilaksanakan dalam dua peringkat iaitu TTX yang diadakan sejak 23 Julai lepas hingga hari ini bagi peringkat pertama seterusnya Staff Exercise (STAFFEX) dan Communication Exercise (COMMEX) bagi peringkat kedua, dijangka pada 2019.