KUALA LUMPUR, 19 Jul – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan tindakan pihak polis menyerbu dan menangkap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi sebagai salah satu perbuatan berlebih-lebihan serta penganiayaan terhadapnya.
Menurut Hamzah, alasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu agak ‘pelik dan tidak masuk akal’ kerana pihak polis sendiri ada meletakkan seorang anggotanya bersama Muhammad Sanusi untuk bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Menteri Besar Kedah itu.
Ujarnya, pihak berkuasa itu boleh sahaja menghubungi pengawal peribadi Muhammad Sanusi yang juga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada bila-bila masa.
“Yang saya rasa amat pelik sekali adalah kerana sebagai Menteri Besar, beliau mempunyai seorang pengawal peribadi yang juga datang daripada PDRM,
“Tidakkah sesuatu yang amat aneh sekali bila polis sendiri mengatakan mereka tidak dapat menghubungi Muhammad Sanusi?,
“Ini adalah jawapan yang tidak masuk akal sama sekali kerana polis mempunyai seorang (anggota) yang diletakkan di sebelah Menteri Besar untuk menjadi pengawal peribadi dan menjaga keselamatan beliau.
“(Polis) boleh tanya terus kepada pengawal peribadi di mana Muhammad Sanusi pada bila-bila masa,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, tengah malam tadi.
Tegasnya, mungkin ada tangan ghaib yang mengarahkan supaya Muhammad Sanusi ditangkap juga pada malam semalam kerana mereka ingin memalukan seorang pemimpin besar dalam kalangan Perikatan Nasional (PN).
Semalam, media melaporkan, Menteri Besar Kedah itu itahan polis di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara pada jam 3 pagi.
Beliau dihadapkan di Mahkamah di atas 2 pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lepas.
Namun, Muhammad Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya PN, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Sementara itu, Razarudin dalam satu sidang media menjelaskan penahanan Muhammad Sanusi dibuat pada jam 3 pagi selepas beliau tidak menjawab panggilan telefon daripada polis sejak petang kelmarin untuk urusan pemakluman mengenai pertuduhan ke atasnya semalam.
Selain gagal dihubungi, Muhammad Sanusi juga dilaporkan gagal dikesan Polis Kedah, selepas Bukit Aman meminta bantuan kontinjen itu merakamkan percakapan bagi siasatan kes Akta Hasutan yang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Menurut Razarudin, pegawai penyiasat turut menghubungi Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik kepada Muhammad Sanusi untuk proses pemakluman, namun turut tidak berjawab. -airtimes.my