Hakim Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu terhadap jurujual Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah dalam sebutan kes itu, hari ini.

Mahkamah memerintahkan Muhammad Irwan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 3 Oktober lalu.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan Azmin Muntapha memberi nasihat kepada tertuduh bahawa perbuatan yang dilakukan adalah salah kerana membahayakan nyawa apatah lagi kes itu sudah menjadi viral.

Dalam pada itu, Azmil Muntapha turut bertanya samaada tertuduh sudah meminta maaf pada pengadu iaitu kakaknya, tertuduh menjawab, ‘Ya saya sudah minta maaf’.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memasukkan anak saudaranya Shah Raiqal Shahril Sharizal yang berusia tiga tahun dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh hingga membahayakan keselamatan kanak-kanak tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Kedai Dobi Laundry Bar Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, di sini pukul 12.30 malam pada 2 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.