PUTRAJAYA, 3 FEB – Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menamatkan perkhidmatan sebelum 1 Januari 2013, yang sebelum ini ditangguhkan, telah ditetapkan semula pada 6 Mei.
Tarikh tersebut diumumkan dalam sesi pengurusan kes di Mahkamah Rayuan hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd Syafiq Mustaza.
Rayuan ini adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Februari 2024, di mana Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Suzana Muhammad Said memutuskan, semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah yang sama seperti pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.
Beliau juga menegaskan, kerajaan gagal dalam membuat pelarasan pencen yang sewajarnya sekali gus melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 dan Perkara 8 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972.
Walau bagaimanapun, pada 9 Januari tahun yang sama, Kerajaan bersama 3 pihak lain telah mengemukakan rayuan ke mahkamah melalui peguam persekutuan.
Oleh yang demikian, Mahkamah Rayuan menetapkan 21 Januari 2025 sebagai tarikh keputusan berkenaan isu terbabit.
Mengulas lanjut, semasa prosiding pada 21 Januari lalu, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi berhujah, pesara ATM tidak berhak mendapat pelarasan pencen selepas 2012 kerana tiada semakan gaji sehingga kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini.
Beliau menambah, terdapat lima semakan gaji dari tahun 2002 hingga 2012 dan kerajaan telah membuat pelarasan terhadap pencen pesara ATM dalam tempoh tersebut.
Bagaimanapun, peguam Mohamed Haniff menegaskan, kerajaan telah gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013. Beliau berkata, terdapat jurang pencen yang ketara antara pesara ATM yang bersara sebelum dan selepas tarikh tersebut.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hashim Hamzah, Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim kemudiannya sepakat menangguhkan keputusan Mahkamah Rayuan dengan menetapkan 3 Februari 2025 sebagai sesi pengurusan kes.
Susulan itu, semasa sesi pengurusan kes hari ini (3 Februari 2025), mahkamah telah bersetuju menetapkan 6 Mei depan sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan mengenai keputusan yang memihak kepada pelarasan pencen pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
Dalam prosiding ini, 50 pesara ATM yang memulakan saman diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri, manakala kerajaan diwakili oleh Peguam Persekutuan M. Kogilambigai. -airtimes.my
#Pelarasanpencen #VeteranATM #MahkamahRayuan