TYRE, 17 Mei – Masalah kegawatan ekonomi yang melanda Lubnan beberapa tahun lalu turut memberi kesan kepada anggota tentera negara itu.
Berikutan daripada masalah ekonomi tersebut, kontinjen tentera negara yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan turut serta dalam usaha untuk meringankan beban yang kini ditanggung oleh Angkatan Tentera Lubnan (Lebanese Armed Forces, LAF).
Pihak Pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-10 memaklumkan, pasukannya turut menghulur bantuan kepada anggota tentera Lubnan itu.
Menurutnya, Komander MALBATT 850-10, Kolonel Mohd Rizman Ramli telah menyempurnakan program sumbangan kepada Lebanese Armed Forces (LAF) di South Litani Sector (SLS) Headquarters, Benoit Bracket Tyro Barracks, pada Isnin.
“Ketibaan Komander telah disambut mesra oleh wakil SLS iaitu Kolonel Toufic sebelum dibawa ke pejabat bagi sesi kunjungan hormat,
“Kemudian acara disusuli dengan penyerahan sumbangan MALBATT kepada LAF,
“Antara yang disumbangkan adalah barang makanan asas seperti gula, minyak, tepung gandum dan susu tepung,” jelas pihak MALBATT 850-10 menerusi hantaran di media sosialnya.
MALBATT 850-10 turut mengharapkan semua sumbangan tersebut dapat membantu dalam menangani krisis ekonomi di negara Lubnan ketika ini.
Tambahnya, program seperti ini sejajar dengan Teras Kelima Perintah Ulung Komander MALBATT 850-10 iaitu Pengukuhan Hubungan Bersama Tentera Bersekutu yang memfokuskan kepada pengukuhan bersama Lateral Engagement.-airtimes.my