KUALA LUMPUR, 10 Dis – Operasi Benteng (Op Benteng) yang diterajui oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah melakukan tangkapan yang melibatkan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 orang tekong, semalam.
Operasi bersepadu yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi penguatkuasa lain turut merampas 4 kenderaan darat dan 8 bot semasa operasi tersebut.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 121 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilaksanakan semalam melibatkan ATM, PDRM dan RELA dalam Op Penawar iaitu sebanyak 51 SJR.
“Manakala Op Benteng PDRM (61 SJR) dan Op Benteng AKSEM (9 SJR),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Sementara itu, bagi Task Force Operasi Pematuhan pula, PDRM telah menahan 217 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana 210 daripadanya telah dikompaun manakala 7 pula direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (99), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (31), aktiviti pusat hiburan (17) dan lain-lain (10),” tambahnya.
Ismail Sabri menjelaskan, PDRM juga telah membuat 51,908 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosuder operasi standard (SOP) PKPP semalam.
“Pasukan Pematuhan yang melibatkan 13,725 anggota telah membuat pemantauan di 4,040 pasar raya, 5,213 restoran serta 1,638 penjaja, 1,374 kilang, 3,586 bank dan 2,206 pejabat kerajaan,
“Juga dipantau, sebanyak 985 terminal pengangkutan darat, 219 terminal pengangkutan air serta 82 terminal pengangkutan udara,” jelasnya. – airtimes.my