MIRI, 13 OKT – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Latihan Helideck Landing Training On Offshore Facilities (HLTOF) di pelantar minyak perairan Miri, Sarawak pada 10 hingga 11 Oktober lalu.
TUDM menerusi satu hantaran di media sosialnya memaklumkan, latihan ini diadakan adalah untuk meningkatkan keupayaan kerjasama penggunaan ‘Air Element’ dalam menangani ancaman keselamatan terhadap pelantar minyak Malaysia.
“Fleet Helikopter EC 725 AP TUDM telah berjaya melaksanakan latihan HLTOF di pelantar minyak perairan Miri,
“Latihan ini telah dikoordinasikan oleh Markas Wilayah Laut 2 (MAWILUD 2) bersama syarikat PETRONAS dan telah melibatkan penyertaan daripada No 5 Skuadron (Skn), No 10 Skn, Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU-JKO), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serta Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” jelas TUDM lagi.
Selain itu, latihan ini juga untuk melatih dan menyediakan anak kapal yang berkelayakan bagi melaksanakan latihan pendaratan pesawat di pelantar pesisir milik PETRONAS.
Sebelum latihan bermula, para peserta latihan yang terlibat turut diberikan taklimat keselamatan oleh wakil dari HAS International Sdn Bhd Miri, Sarawak didalam memastikan latihan berjalan dengan lancar.
Latihan HLTOF pada kali ini telah diketuai secara bersama oleh Pegawai Memerintah No 5 Skn, Leftenan Kolonel Ahmad Tarmizi Sokri TUDM dan juga Pegawai Memerintah No 10 Skn, Leftenan Kolonel Paranjothi Manogharan TUDM.
“Semoga latihan yang dilaksanakan ini dapat memperkasakan lagi barisan hadapan negara dan meningkatkan tahap kesiagaan anak kapal TUDM serta kebolehoperasian secara bersama dengan agensi-agensi yang lain dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara,” ujar pihak TUDM. -airtimes.my
#TUDM #PETRONAS #pelantar #pertahanan #airtimes